Sunday, September 7, 2014

Lapan puluh jejak bukti MH17

Sepang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempersiapkan 80 pegawai dan anggota pasukan khas bagi meneruskan misi mencari bahan bukti dan baki mangsa di kawasan nahas MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai lalu.

Ini termasuk penghantaran pasukan fasa pertama terdiri 30 pegawai dan anggota pasukan khas PDRM yang berlepas ke Ukraine dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, 11.45 malam tadi.

Kesemua 30 pegawai dan anggota yang berlepas ke Ukraine, adalah dari cawangan Komando VAT 69, Forensik, Cawangan Foto, Persenjataan, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Perhubungan Awam.

Mereka diketuai Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata: "Baki 50 anggota dan pegawai dijangka berlepas ke sana (Ukraine) dalam masa terdekat dan kita akan maklumkan kemudian."


ANGGOTA polis yang akan ke Ukraine sebelum berlepas dari KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau yang ditemui selepas menyempurnakan majlis penghantaran pegawai dan anggota pasukan khas itu turut menjelaskan bahawa mereka yang berlepas itu adalah kumpulan pertama bagi dua fasa dan petugas sama bagi misi sebelum ini.

"Berikutan gencatan senjata di kawasan nahas selepas dipersetujui antara Ukraine dan pemberontak, mereka (petugas khas PDRM) ini akan meneruskan amanah, termasuk mencari bahan bukti sebanyak boleh serta baki mangsa masih hilang.

"Justeru, kita berdoa supaya pasukan ini dapat menjalankan tugas dengan selamat sepanjang berada di sana lebih-lebih lagi musim sejuk hampir tiba" katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tempoh bagi misi berkenaan belum dapat dipastikan dan ia bergantung kepada arahan dari semasa ke semasa.

"Biarpun pasukan ini bakal berdepan dengan cabaran, kita tidak boleh berputus asa. Kita berharap mereka memperoleh seberapa banyak bahan bukti bagi membantu siasatan dan proses pendakwaan di peringkat antarabangsa," katanya.

sumber dari
myMetro

Thursday, September 4, 2014

Abu mayat mangsa MH17 ditabur ke laut

Georgetown: Suasana pilu mengiringi perjalanan terakhir pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Sanjid Singh Sandhu, 41, apabila abu mayatnya ditabur ke laut berhampiran perairan Pulau Rimau, di sini, semalam.

Sebelum upacara itu, bapa mendiang, Jijar Singh, 71, dilihat memegang bekas abu mayat anaknya yang tiba di jeti Jabatan Laut Wilayah Utara di Batu Uban, di sini, jam 9.40 pagi. 

Jijar yang kelihatan sugul ditemani isteri mendiang, Tan Nee Gok, 43, anak tunggal pasangan itu, Hans Singh Sandhu, 10, dan beberapa ahli keluarga mangsa. 


AHLI keluarga mendiang Sanjid menabur abu mayat berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Pulau Rimau, semalam.


Tan yang dilihat tenang pada awalnya kemudian gagal menahan kesedihan sebaik bekas abu mayat mendiang suaminya dibawa menaiki bot Pasukan Polis Marin (PPM) menuju ke tempat persemadian terakhirnya.

Upacara berkenaan selesai jam 10.25 pagi.

Turut hadir pada upacara berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan serta dua EXCO kerajaan negeri, Jagdeep Singh Deo dan Phee Boon Poh. 


sumber dari 
myMetro

Kopi pembunuh syarikat misteri


Kuala Lumpur: Kejadian serangan sakit jantung mendadak terhadap beberapa mangsa lelaki akhirnya membongkar kegiatan penjualan pelbagai produk kopi beracun yang dikesan mengandungi kimia berbahaya.

Kewujudan pelbagai produk kopi campuran dihasilkan syarikat ‘hantu’ ini dikesan kian berleluasa apabila ia mudah dibeli dengan harga RM5 sebungkus. 

Menyedari bahaya produk kopi campuran ini yang mengandungi kimia analog sibutramine dan taladafil, Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melakukan operasi besar-besaran bagi merampas produk itu di pasaran petang semalam.

Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, sepasukan 90 pegawai CPF diketuai Ketua CPF Kuala Lumpur Asniza Alias menyerbu 23 premis menjual jamu dan ubat-ubatan tradisional di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.


PEGAWAI Cawangan Penguat Kuasa Farmasi menunjukkan kopi ‘maut’ yang dirampas dalam serbuan di Jalan Tunku Abdul Rahman petang semalam.


Ketika operasi dilakukan, pegawai CPF mendapati rata-rata kedai yang diserbu menjual peket kopi jenama Kopi Panggung dan Kopi Jantan kepada orang ramai.

Paket kopi diharamkan itu digantung di hadapan premis dengan kebanyakannya mendakwa dicampur herba Tongkat Ali dan pelbagai herba lain. 

sumber dari
myMetro