Showing posts with label MH17. Show all posts
Showing posts with label MH17. Show all posts

Tuesday, September 9, 2014

MH17: Jenazah Tambi Jiee selamat tiba di Kuching

KUCHING: Jenazah Allahyarham Tambi Jiee, 49, yang terkorban dalam tragedi pesawat malang, MH17, di Timur Ukraine, 17 Julai lalu selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, di sini, sebentar tadi.

Ketibaan jenazah menggunakan pesawat Hercules C-130 sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA Sepang dari Amsterdam, Belanda kira-kira jam 6.30 pagi tadi disambut Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.Turut mengiringi jenazah ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Jenazah kemudiannya diberikan penghormatan oleh 12 pegawai dan anggota dari Batalion Ke-4 Kor Armor Diraja (KAD) sebelum dibawa ke Masjid Jamek, Petra Jaya untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulung mereka, Muhammad Afif, 19, yang dibawa pulang ke tanah air pada 22 Ogos lalu sempena Hari Perkabungan Negara.

Turut terkorban dalam tragedi 55 hari lalu ialah tiga lagi anak pasangan itu iaitu Muhamad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhamad Afruz, 13.

Bagaimanapun sehingga kini, identiti jenazah ketiga-tiga anak pasangan terbabit masih dalam proses pengecaman oleh pasukan forensik antarabangsa di Hilversum, Belanda.
Pada 17 Julai lalu, sebuah pesawat MAS membawa 283 penumpang termasuk 15 anak kapal ditembak jatuh dipercayai menggunakan peluru berpandu anti-pesawat di Grabovo, Donestk berhampiran sempadan Russia - Romania, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.


Lokasi kejadian yang berada dalam zon peperangan antara Tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak Pro-Russia menyebabkan kelewatan proses membawa keluar mayat dan prosedur siasatan.



sumber dari
Berita Harian

Sunday, September 7, 2014

Lapan puluh jejak bukti MH17

Sepang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempersiapkan 80 pegawai dan anggota pasukan khas bagi meneruskan misi mencari bahan bukti dan baki mangsa di kawasan nahas MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai lalu.

Ini termasuk penghantaran pasukan fasa pertama terdiri 30 pegawai dan anggota pasukan khas PDRM yang berlepas ke Ukraine dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, 11.45 malam tadi.

Kesemua 30 pegawai dan anggota yang berlepas ke Ukraine, adalah dari cawangan Komando VAT 69, Forensik, Cawangan Foto, Persenjataan, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Perhubungan Awam.

Mereka diketuai Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata: "Baki 50 anggota dan pegawai dijangka berlepas ke sana (Ukraine) dalam masa terdekat dan kita akan maklumkan kemudian."


ANGGOTA polis yang akan ke Ukraine sebelum berlepas dari KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau yang ditemui selepas menyempurnakan majlis penghantaran pegawai dan anggota pasukan khas itu turut menjelaskan bahawa mereka yang berlepas itu adalah kumpulan pertama bagi dua fasa dan petugas sama bagi misi sebelum ini.

"Berikutan gencatan senjata di kawasan nahas selepas dipersetujui antara Ukraine dan pemberontak, mereka (petugas khas PDRM) ini akan meneruskan amanah, termasuk mencari bahan bukti sebanyak boleh serta baki mangsa masih hilang.

"Justeru, kita berdoa supaya pasukan ini dapat menjalankan tugas dengan selamat sepanjang berada di sana lebih-lebih lagi musim sejuk hampir tiba" katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tempoh bagi misi berkenaan belum dapat dipastikan dan ia bergantung kepada arahan dari semasa ke semasa.

"Biarpun pasukan ini bakal berdepan dengan cabaran, kita tidak boleh berputus asa. Kita berharap mereka memperoleh seberapa banyak bahan bukti bagi membantu siasatan dan proses pendakwaan di peringkat antarabangsa," katanya.

sumber dari
myMetro