Tuesday, October 21, 2014

Miera enggan seksi lagi

Pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan, Miera Liyana, 21, dilanda kontroversi kerana imej seksi dan ia sering dikaitkan dengan dirinya hingga pernah menyuarakan mahu membuang imej itu.

Sepi seketika daripada kontroversi, tiba-tiba namanya kembali jadi sebutan kerana filem terbaru lakonannya, Dendam Orang Mati arahan Jason Chong.

Miera dikatakan muncul berbikini di kolam renang dalam satu babak filem itu, sekali gus ada yang mempertikaikan hasrat Miera sebelum ini. Ia ibarat 'cakap tak serupa bikin'.
Ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem itu Rabu lalu, Miera dilihat bersedia menjawab isu yang mungkin mencalar kepercayaan peminat terhadapnya.

Katanya, penggambaran filem itu dilakukan ketika usianya 19 tahun dan ia lakonan keduanya selepas kali pertama muncul dalam drama bersiri Hotel Mania.

"Saya masih mentah dan percaya apa yang saya lakukan ketika itu kerana memenuhi kehendak skrip dan tuntutan karekter.

"Saya bercakap dengan pengarah mengenai babak itu tetapi diyakinkan babak itu akan menjalani proses suntingan melalui teknik kamera (camera trick)," katanya.

Kata Miera, dia turut memaklumkan keperluan babak itu kepada ibunya yang juga pengurusnya. Malah, ibunya sempat berpesan kepada pengarah dan kru supaya menghormati babak itu daripada cuba mengambil kesempatan.

"Melakonkan babak itu sebenarnya satu cabaran paling utama ketika menjayakan filem itu kerana bimbang dengan reaksi penonton.

"Saya tidak teragak-agak menolak melakonkan babak itu seandainya mendapat tawaran perlu beraksi seksi dalam filem lain selepas ini," katanya.

Tegas Miera, dalam usianya kini makin matang, dia akan teliti dan memilih skrip filem, bukan main ambil saja semua tawaran berlakon yang datang.

"Kalau nak diikutkan, aksi saya tidaklah panas, malah ada pelakon lain pernah beraksi lebih 'daring'. Saya juga tidak menganggap babak itu sebagai eksploitasi kerana ia satu cabaran.
"Apatah lagi berlakon di samping Fizz Fairuz yang saya anggap abang. Saya juga gembira dapat beraksi bersama Lisa Surihani dalam filem itu," katanya.

Dengan tenang Miera akui tidak kesal dengan apa yang berlaku kerana menganggap ia satu pengalaman yang terus mematangkannya dalam dunia lakonan.

Filem Dendam Orang Mati atau tajuk asalnya Tingkat 4 menemui penonton di pawagam pada 23 Oktober ini.

Kata Miera, kerjaya lakonannya juga maju setapak lagi apabila baru tamat menjalani penggambaran dua telefilem di Indonesia, Ku Kejar Cintaku Sehingga Ke Malaysia dan Pacarku Kehabisan Ongkos.
"Kedua-dua telefilem itu akan disiarkan di stesen televisyen Indonesia dan Malaysia. Jujurnya, bekerja dengan produksi Indonesia mencabar kerana tempoh penggambaran kedua-dua telefilem itu mengambil masa dua hari saja.

"Maknanya, satu telefilem ambil masa dua hari penuh bekerja. Ia jauh berbeza dengan cara kerja produksi kita yang mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari untuk satu telefilem.

"Namun, saya gembira dapat menimba pengalaman baru bekerja dengan produksi di sana," katanya.
Miera turut berkongsi cerita menarik apabila dianggap 'budak-budak' yang tidak tahu apa-apa pada mulanya. Namun demi mencari pengalaman bekerja dengan produksi luar, dia ikutkan saja hinggalah apabila penggambaran babak pertama, dia berjaya memberi sepenuh fokus sehingga membuatkan seluruh produksi terpukau dan bertepuk tangan.

"Sebelum penggambaran babak pertama, pengarahnya 'kerek'. Saya hanya mengangguk kerana tidak mahu timbulkan isu.

"Saya berikan sepenuhnya sehingga terkeluar urat-urat di leher, menangis bagai nak rak. Bila pengarah jerit 'cut', semua di set terus bertepuk tangan.

"Selepas itu saya terus ditawarkan berlakon telefilem Pacarku Kehabisan Ongkos," katanya.
Miera tidak menolak kemungkinan jika rezekinya mula berpihak di negara itu satu hari nanti. Apatah lagi, beberapa pengarah di sana mula mengintai Miera untuk berlakon dalam produksi mereka.


sumber dari
myMetro


Tiga hari mimpikan anak

Kuala Terengganu: "Tiga hari berturut-turut saya bermimpikan dia dan setiap kali mimpi hati saya berasa tidak sedap," kata Faezah Mamat, 43, ibu kepada Muhammad Amizi Zuhaidi Salahuddin, 15, yang maut dalam kemalangan di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan membeli mi goreng yang dipesan kakaknya di sebuah kedai makan berhampiran.

Malangnya, dalam perjalanan itu motosikal ditunggang mangsa merempuh belakang lori tiga tan yang diparkir di tepi jalan.

Faezah yang juga ibu kepada 11 anak itu berkata, anak kelimanya itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu apabila dimaklumkan penduduk kampung dan bergegas ke tempat kejadian.

sumber dari
myMetro

Kemaruk mabuk punya pasal

London: Seorang siswa perempuan terpaksa dibantu anggota bomba selepas kepalanya tersangkut pada tong sampah ketika dia menggeledah tempat itu untuk mencari lebihan arak.

Chelsie Redwood, 19, dilaporkan berfoya-foya dengan rakannya dari Universiti Solent di Southampton apabila dia mengambil keputusan memasukkan kepalanya ke lubang tong sampah khas untuk botol itu untuk menyelongkar tempat berkenaan.

Bagaimanapun, sejurus kemudian dia gagal menarik keluar kepalanya.
Jurucakap bomba Hampshire berkata kejadian berlaku di kawasan taman Pusat Sivik Southampton.
“Pada jam 3.29 pagi seorang remaja berjaya dibebaskan dari bekas kitar semula menggunakan alat pemotong khas dikenali sebagai Redbridge,” katanya.

Sementara itu saksi, Chris Rashleigh berkata, dia percaya Chelsie dan rakannya sedang bergembira sebelum kejadian.“Saya rasa dia mahu arak lagi,” katanya.
Berdasarkan keadaan Chelsie, Rashleigh percaya siswa terbabit tersangkut pada lubang tong itu untuk tempoh agak lama.

“Apabila anggota bomba tiba, remaja itu dikelilingi ramai rakannya yang menunggu bantuan tiba,” katanya.Sementara itu, Chelsie berkata, dia amat malu kerana terpaksa membiarkan kepalanya pada lubang tong sampah itu.“Saya tidak akan melakukannya lagi


sumber dari
myMetro

Monday, October 20, 2014

Kalau boleh nak kahwin terus - Elfira Loy

KUALA LUMPUR: Sekian lama gosip cinta mengaitkan Elfira Loy dengan pelakon Indonesia, Baim Wong mula sepi, namun baru-baru ini cerita membabitkan mereka bertebaran semula apabila pelakon genit itu memuatkan gambarnya dengan Baim di laman Instagram.
Kedua-dua mereka menghadiri perkahwinan pelakon seberang, Raffi Ahmad dengan Nagita Slavina yang diadakan di Jakarta.
Elfira ketika itu menggayakan busana rekaan Rizman Ruzaini berwarna krim.
Malah gaya Elfira saling tak tumpah seperti dia pula yang berkahwin.
Elfira yang dihubungi BH Online berkata: "Dia (Baim) ada menghubungi saya untuk menemaninya majlis kahwin ini. Cuma saya secara peribadi tidak mengenali Raffi mahupun isterinya.
"Pada awalnya saya sendiri tak diberitahu majlis kahwin siapa yang bakal kami hadiri. Saya tak ada masalah menemaninya.
"Pada hari saya tiba di Jakarta barulah tahu majlis kahwin siapa sebenarnya. Sebelum ke Jakarta saya menjalani penggambaran di Manchester, England untuk drama 26 episod berjudul Setulus Janji bagi siaran RTM.
"Tapi, saya balik dulu ke Malaysia. Saya ke Jakarta ditemani ibu dan adik perempuan dan kebetulan mereka belum pernah ke sana," katanya.
Diusik dengan persoalan apakah dia dan Baim sebenarnya sedang menjalinkan cinta, Elfira menjelaskan sejak dulu lagi mereka rapat atas paksi sebagai kawan.
"Seperti saya pernah cakap sebelum ini, saya memang tak gemar bercinta. Kalau boleh nak terus langsungkan majlis kahwin. Sebab itu dengan Baim walaupun sudah empat tahun kenal, kami hanya berkawan saja.
"Soal kahwin itu semua berbalik kepada perihal jodoh. Jika diizinkan Allah dengan sesiapa termasuk Baim pun, saya terima dengan hati terbuka.
"Tapi kalau bukan jodoh saya, kita tak mampu melawan kehendak takdir," katanya.


sumber dari
http://www.bharian.com.my/

Sunday, October 19, 2014

Si Hantu Colombia

Mexico: Dengan wajahnya yang menakutkan, lelaki ini tidak mungkin diterima bekerja.
Malah, mungkin dia akan diusir sebaik memasuki bilik temuduga.

Inilah Si Hantu dari Colombia yang bangga dengan tatu hitam pada bola matanya, beberapa implan tanduk dan begitu banyak tindik.

Dengan wajahnya itu, Caim Mortis sudah pasti menjadi lelaki yang tidak perlu berpakaian khas bagi menghadiri majlis seperti Halloween.

 Lelaki berusia 42 tahun ini menghabiskan 11 tahun daripada hidupnya untuk 'mengubah suai' tubuhnya, termasuk mentatu seluruh bola matanya menjadi hitam, membuat implan tanduk pada dahi dan lengan.
Tidak cukup dengan itu, dia menindik tanduk itu.

Akibat daripada tindakannya itu, keluarga Caim yang taat kepada ajaran Katolik, enggan menerimanya menyebabkan dia berpindah dari Colombia ke Mexico, tempat dia boleh diterima masyarakat.

"Apabila orang melihat saya kali pertama, reaksi mereka ialah terkejut atau hairan.
"Soalan pertama mereka tanya ialah 'tidak sakitkah' atau 'siapa yang melakukan ini terhadap kamu,'" katanya.

Menurutnya antara perkara yang mendorongnya melakukan pengubahsuaian pada tubuhnya ialah keinginan untuk menjadi unik dan berbeza berbanding orang lain.
Seperti Caim, ramai lagi yang ingin kelihatan pelik dan dia membantu mereka dalam tugasnya selaku artis tatu.

Minggu ini, Caim berkata, dia akan melancarkan karier baru musim Halloween akan datang, bersama-sama dengan rakannya, Gisella, yang akan memegang watak 'malaikatnya.'



sumber dari 
myMetro


Jeriji sepit kepala

Gombak: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hanya mampu menangis selepas tersepit di jeriji pintu rumahnya di tingkat tiga kondominium di Selayang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang semalam, mangsa yang bermain di rumahnya dikatakan memasukkan kepala ke celah jeriji itu sebelum gagal menarik keluar kepalanya.

Ahli keluarga mangsa yang panik kemudian segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang untuk meminta bantuan.

Jurucakap BBP Selayang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.28 petang dan tiba di lokasi kejadian pada jam 2.35 petang.

"Sebaik tiba, kami melihat kepala kanak-kanak itu tersepit di jeriji besi pintu rumahnya.
"Mangsa yang tersepit selama hampir 20 minit kemudian berjaya diselamatkan selepas anggota bomba menggunakan alat pemotong besi untuk memotong jeriji itu," katanya.


sumber dari
myMetro

Kes Nusyuz Sari Yanti Dibicara Disember Depan

Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling telah menetapkan 17 Disember sebagai perbicaraan kes nusyuz yang difailkan oleh Mohd. Edy Casmadi Che Hussain, 34, terhadap isterinya pelakon Sari Yanti.
 
Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan kedua-dua pihak untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.
 
Semasa prosiding berlangsung Peguam Syarie, Marlina Amir Hamzah yang mewakili Sari Yanti memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan afidavit pembelaan kes itu minggu hadapan.
 
Manakala, Peguam Syarie yang mewakili Mohd Edy turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan pembelaan pada 4 November.
 
Pada 8 September lalu, mahkamah menolak bantahan awal Sari Yanti dengan kos RM500.
 
Pada 25 Februari lalu, Sari Yanti memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.
 
Mohd Edy kemudian memfailkan nusyuz ke atas isterinya pada 7 Mac lalu di bawah Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.


sumber dari
http://mediahiburan.karangkraf.com/

Tuesday, October 14, 2014

Padah tiduri suami orang

Puyang (China): Dia dibogelkan secara paksa dan dipukul tanpa belas kasihan oleh sekumpulan wanita di jalan raya yang sibuk. Bukan saja polis tidak datang membantu, malah orang ramai juga tidak campur tangan ketika kumpulan wanita berkenaan menendang celah kelangkang dan payu dara Lin Yao Li, 38, walaupun dia meraung kesakitan. 

Saksi berkata, Lin tidak layak dibantu kerana dia tidur dengan suami orang. Ia kejadian terbaru seumpamanya di China yang menyaksikan wanita dimalu dan dipukul di khalayak ramai kerana menjadi punca lelaki bersikap curang terhadap isteri. Dalam kejadian kelmarin,

 Lin diserbu empat wanita ketika berjalan pulang dari membeli-belah di Puyang, wilayah Henan, di timur China. Dengan menumbuk dan menendangnya sehingga Lin terjatuh sambil meraung kesakitan, 
penyerangnya kemudian menanggalkan pakaiannya sebelum memukulnya lagi, menarik rambut dan menendang celah kelangkang dan payu daranya. 

Serangan ganas itu dikatakan dirancang oleh isteri lelaki yang didakwa tidur dengan Lin. Dia dibantu tiga rakannya. Orang ramai yang berada di tempat kejadian hanya memerhatikannya. Seorang lelaki tempatan, Jun Feng, 30, yang membantu Lin selepas penyerangnya meninggalkan tempat itu memberitahu stesen televisyen tempatan: "Kejadian ini sudah menjadi perkara biasa. 

"Isteri dan teman wanita membalas dendam terhadap lelaki mereka dengan menyerang wanita lain. Orang ramai tidak berminat membantu." Lin yang calar-balar dan lebam kemudian dibawa ke hospital selepas merayu dipanggilkan ambulans. 

SEKUMPULAN wanita membelasah Lin yang dituduh meniduri suami salah seorang daripada mereka. -

sumber dari
myMetro

Petaka tongkat kepala naga

Butterworth: Bermodalkan dua batang tongkat yang didakwa mempunyai kesaktian tertentu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh dan boleh mengubati pesakit yang terkena sihir bijak mempergunakan mangsa apabila mengikis wang mereka untuk menampung kehidupannya sekeluarga.

Bomoh berusia 48 tahun itu dikatakan menggunakan dua tongkat berbentuk kepala naga serta ular yang diperbuat daripada kayu dan besi.

Tongkat berkepala ular yang diperbuat daripada besi itu juga sebenarnya pedang dan kedua-dua tongkat itu turut bertatahkan batu permata di sekelilingnya.

Difahamkan, bomoh berkenaan mendakwa tongkat itu azimat yang dianugerahkan kepadanya untuk mengubati setiap pesakit dan dia kononnya menjadi insan terpilih untuk menyimpan tongkat terbabit yang didakwa diperoleh melalui mimpi.

Bagaimanapun, semua barangan itu dirampas polis dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) untuk tindakan selanjutnya.

Bomoh berkenaan, isterinya dan seorang lelaki yang menjadi pembantu mereka dilihat turut tampil ke pejabat JAIPP untuk diambil keterangan pada jam 10 pagi semalam.



DUA tongkat yang dirampas JAIPP.


sumber dari
myMetro

Friday, September 26, 2014

Puteri Sarah Terlibat Dalam Kemalangan Jalan Raya

Selepas dikhabarkan keguguran baru-baru ini, terbaru Puteri Sarah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Seperti mana yang dilaporkan sebuah portal hiburan kemalangan berlaku di Ukay Perdana.

 Malah ibu mentuanya, Datin Patimah juga mengesahkan kejadian dan memuat naik status tentang kemalangan tersebut menerusi akaun facebook miliknya.

 "Kemalangan tersebut telah menyebabkan pintu kereta sebelah pemandu remuk teruk. Namun saya bersyukur menantu saya selamat dan tidak cedera, cuma  Sarah masih trauma dengan apa yang berlaku. Syamsul pula tiada di sini kerana sedang menjalani pengambaran filem Misteri Long Piah di Klang, Selangor bersama adiknya Syafiq," jelas isteri kepada Datuk Yusof Haslam itu.

sumber dari
http://mediahiburan.karangkraf.com/

Aeril & Wawa Didenda Nikah Tanpa Kebenaran

Pasangan pelakon popular,  Aeril Zafrel dan isterinya, Wawa Zainal, masing-masing didenda RM1,000 dan RM800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Subang Bestari, Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah bernikah tanpa kebenaran sah, dua tahun lalu.

Bapa angkat Aeril, Wahap Raob, 71, yang mengaku bersalah bersubahat dalam pernikahan pasangan ini turut didenda RM800.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Datuk Harun pada 25 Februari 2012, masing-masing mengikut Seksyen 40(2) dan 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam pada itu, Aeril dan Wawa telah bernikah buat kali kedua dengan kebenaran pada 4 Februari tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia 15 bulan. 


sumber dari
http://mediahiburan.karangkraf.com/

Thursday, September 25, 2014

Elly Mazlein Nikah 9 November Ini

Teka teki kepada status pertunangan pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein akhirnya terjawab apabila dia bakal melangsungkan majlis pernikahannya pada 9 November ini bersama pengarah, Azmi Hatta. Manakala hari sebelumnya akan diadakan majlis adat berinai kecil yang akan dihadiri saudara mara terdekat sahaja. 
Sebelumnya, pelantun lagu 'Sabarlah Hati' ini pernah memaklumkan Media Hiburan yang dia akan berkahwin pada September namun terpaksa ditunda ekoran beberapa sebab.  Dan akhirnya, satu tarikh muktamad telah ditetapkan.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini juga, Elly hanya akan mengadakan majlis pernikahan bagi menghormati pemergian ibunya yang telah meninggal dunia pada 11 Mei lalu. Tahniah diucapkan.


sumber dari
http://mediahiburan.karangkraf.com/

Kaki jadi tiang lampu

Seorang lelaki tempatan memenangi hak untuk membawa pulang kakinya yang dipotong dan dijadikan tiang lampu hiasan.
Leo Bonten, 53, kemudian mengiklankan lampu itu di laman eBay untuk dijual dengan harga permulaan €100,000 (RM 417,177).
Bagaimanapun, iklan itu digugurkan kerana ia melanggar polisi laman berkenaan yang mengharamkan penjualan anggota badan manusia.
Kaki Bonten terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman selepas ia patah dalam satu kemalangan pada Julai 2012.
Dalam kejadian itu, rakannya cuba menolak Bonten ke dalam kolam renang namun dia tergelincir dan rakan itu jatuh ke atasnya menyebabkan kakinya mengalami keretakan serius.
Selepas menjalani beberapa pembedahan, dia dijangkiti kuman di bahagian penyambung lutut yang memakan tulangnya.
Menjelang Jun 2014, kaki kanannya yang dijangkiti kuman terpaksa dipotong selepas ia tidak lagi berfungsi.
Sebaik berbincang dengan doktor mengenai perkara itu, dia mendapat idea untuk menjadikan kakinya tiang lampu.
Ideanya itu mengundang pertikaian besar mengenai pemilik kepada anggota yang sudah dipotong dan kebenaran dari segi undang-undang untuk membenarkan Bonten menyimpannya.
Kebiasaannya, anggota badan yang dipotong diserahkan kepada pihak hospital yang menjalankan pembedahan itu dan mereka bertanggungjawab melupuskannya.
Ia melanggar undang-undang jika kakitangan hospital tidak melupuskan anggota yang dipotong.
Bonten tidak dapat menerima syarat itu dan ketika ditemubual dia berkata: “Kaki saya adalah harta saya.
Ada orang yang menyimpan batu karangnya di dalam balang hiasan dan menjadikan abu mayat sebagai tatu.

Saya mahu menjadikan kaki saya lampu hiasan.” Dia akhirnya diberikan kebenaran menyimpan kakinya dan mendapatkan khidmat pakar patologi, Frank van de Goot untuk mengawet serta pereka lampu, Willem Schaperkotter untuk menghasilkan lampu itu.
‘Lampu Kaki’ idamannya itu terhasil sebaik Bonten pulih daripada pembedahannya.


sumber dari
myMetro


Monday, September 22, 2014

Menteri Besar ke-15

Klang: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Balairong Seri Istana Alam Shah di sini, pada jam 10.42 pagi ini.
Terdahulu Mohamed Azmin melafazkan ikrar sumpah jawatan Menteri Besar. 
Istiadat berkenaan dihadiri Kerabat Diraja Selangor, Speaker Dewan Undangan Negeri, pegawai tinggi kerajaan dan wakil media yang mula memasuki kawasan istana seawal jam 8.30 pagi lagi.

Empat EXCO Kerajaan Negeri dari PAS masing ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad, ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi, ADUN Sabak Sallehin Mukhyi dan ADUN Selat Klang Dr Halimah Ali turut hadir pada istiadat berkenaan.
Pelantikan Mohamaed Azmin dijangka akan mengakhiri kemelut pentadbiran negeri ini sejak beberapa bulan lalu selepas penyandangnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diarah mengosongkan kedudukannya sebagai Menteri Besar oleh kepimpinan bekas partinya, Parti Keadilan Rakyat.

Semalam, Abdul Khalid menghadiri majlis perpisahannya di bangunan pejabatnya selepas tamat tempoh berkhidmat beliau dengan Kerajaan Selangor.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dimaklumkan secara rasmi berhubung pelantikannya, semalam.

OHAMED Azmin selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin sebagai Menteri Besar ke-15. FOTO Osman Adnan

Pelantikan Azmin mengenepikan calon pilihan utama PKR iaitu Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain spekulasi dua lagi calon menteri besar iaitu Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Dr Ahmad Yunus.

Azmin dilahirkan di Singapura pada 25 Ogos 1964 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Gurney Road (2), Kuala Lumpur dan Institut Teknikal, Jalan Cheras sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Minnesota, Amerika Syarikat dalam bidang Sains Matematik dan Ekonomi.

Beliau antara ahli politik yang menubuhkan Parti Keadilan Nasional sebelum ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1998.

Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum 2008 setelah mengalahkan calon Barisan Nasional Said Anuar Said Ahmad selain turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Selangor.

Selain menjawat Timbalan Presiden PKR, beliau adalah ahli jawatankuasa Selcat dan dilantik mengetuai PKR Selangor.

Azmin berkahwin dengan Shamshidar Taharin pada 1988 dan dikurniakan enam anak.

sumber dari
myMetro

Monday, September 15, 2014

Selfie dengan mayat



CELESTINO (kanan) bersama anak saudara si mati ber’selfie’ dengan mayat.

Alicante (Sepanyol): Seorang penggali kubur yang merakam gambarnya dengan mumia lelaki yang mati 23 tahun lalu digantung kerja, semalam.
Dalam sekeping gambar, Celestino Reyna dilihat tersenyum di sisi mayat lelaki yang baru digalinya semula. Anak saudara si mati juga kelihatan di gambar itu.
Mayat berkenaan digali untuk ditanam semula dalam kubur yang sama dengan isterinya di sebuah tanah perkuburan di Guardamar del Segura.

Ketika anak saudara si mati menyaksikan penggali kubur itu membawa naik semula mayat berkenaan, mereka terkejut melihat mayat itu sudah menjadi mumia.
Selepas merakam gambar itu, anak saudara si mati yang namanya tidak disiarkan berkongsi gambar itu dengan rakan sekerjanya menerusi Whatsapp dan ia menjadi viral dalam sekelip mata.
Bagaimanapun, dia mendakwa tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa.

“Saya tidak menyangka ia membawa padah. Saya juga tidak bertujuan untuk menghina bapa saudara saya,” katanya.

Sementara itu, penggali kubur berusia 55 tahun itu digantung tugas dan dipindahkan ke bahagian lain sementara pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan.

Seorang anggota majlis, Felipe Aldeguer, bagaimanapun berkata, Reyna tidak bersalah dalam hal itu.

“Dia hanya bertindak bodoh dengan mengikuti kehendak keluarga si mati,” katanya.
Mayat boleh menjadi mumia secara semula jadi apabila ia direndam dengan air berasid, bercampur dengan suhu sejuk dan kekurangan oksigen. - Agensi

sumber dari
myMetro

Justin Bieber Di 'Boo' Lucut Pakaian Atas Pentas

Penyanyi Justin Bieber mengejutkan penonton di NYFW Fashion Rocks apabila melucutkan hampir kesemua pakaiannya di atas pentas sehingga mendapat reaksi bercampur daripada penonton. 

Dengan akhirnya tampil hanya berseluar dalam, Justin di 'boo' oleh penonton yang hadir. Namun, reaksi itu tidak sedikit pun memberi kesan kepadanya yang tampak selesa beraksi begitu. 

Justin dan model Lara Stone berada di atas pentas bagi memperkenalkan artis yang akan membuat persembahan iaitu Rita Ora. Selain Rita, artis lain yang membuat persembahan dalam konsert itu adalah Jennifer lopez, Nicki minaj, Usher, Pitbull, Miranda Lambert dan ramai lagi. 

sumber dari

Alif Satar nikah pagi ini

PENYANYI dan pengacara, Alif Satar dan pasangannya, Sha Dila Halid bakal melangsungkan perkahwinan pagi ini.

Majlis akad nikah diadakan di Dewan Perdana Felda, lapor Media Hiburan.

Sementara majlis bersanding kedua-dua belah pihak pula akan diadakan pada 20 September.

“Untuk majlis persandingan, kami akan buat secara bersama bermula dari pagi sampailah ke malam.  Ini memandangkan jemputan dari pihak Alif yang lebih ramai dari saya.

Kad insya-ALLAH akan diedarkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Alif Satar dan Sha Dila telah mengikat pertunangan pada Januari lalu.



sumber dari
http://www.sinarharian.com.my/

Amyra Rosli : ‘Lambat laun orang akan tahu’








PUNCA utama keretakan hubungan cinta antara pasangan selebriti, Amyra Rosli dan Dazrin Kamarudin masih lagi menjadi rahsia.

Walaupun ramai yang cuba memberi andaian akan hubungan yang kecundang di tengah jalan ini, namun pelakon cantik ini tetap mengunci mulut.

Berpendirian tetap untuk merahsiakan punca utama kegagalan itu, Amyra Rosli, memberitahu ianya tidak perlu didedahkan secara umum.

"Saya rasa, tak perlu bercerita panjang mengenai perkara ini kerana ianya tak akan habis. Tapi saya percaya, lambat laun, orang akan tahu juga puncanya.

"Masa itu akan tiba namun bukan dari mulut saya. Saya tak mahu isu lain pula timbul selepas ini apabila berlaku percanggahan kenyataan.

"Lagipun, pada awalnya saya hanya menangguhkan bukan membatalkan perkahwinan. Namun, ia telah disalahertikan sehingga menyebabkan perkara ini semakin rumit," kata duta produk Aura White ini.

Ditanya mengenai isu pemulangan cincin pertunangan, pelakon drama bersiri Kristal Maya ini juga enggan berkongsi dan lebih selesa untuk tidak mengulas panjang.

Pun begitu, pembatalan perkahwinan ini turut mengaitkan nama pelakon, Ramona Zamzam, yang dikatakan menjadi penyebab. Namun, Ramona telah tampil menafikan perkara ini.

Sebelum ini, Dazrin dan Amyra yang berkenalan sejak tiga tahun membuat keputusan untuk bertunang pada 25 Ogos tahun lalu.

Beberapa hari sebelum melangkah ke alam perkahwinan, ibu yang juga pengurus Amyra, Norzaridah Ahmad, memaklumkan perkahwinan antara anaknya dengan pelakon, Dazrin Kamarudin telah dibatalkan.

Keputusan ini amat mengejutkan ramai pihak kerana hari bahagia itu sepatutnya berlangsung pada 8 Ogos lalu.


sumber dari
http://www.sinarharian.com.my/

Rogol Anak Tiri, Hukuman Bekas Ahli Kumpulan Ruffedge Kekal

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan terhadap bekas anggota kumpulan Ruffedge atas kesalahan merogol anak tirinya, dua tahun lalu.
Menurut Hakim Nurchaya Arshad, hukuman yang diputuskan oleh hakim mahkamah sesyen itu adalah setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan.
"Rogol bukan sahaja kesalahan serius malah lebih menyedihkan lagi apabila mangsa menghadapi trauma sepanjang hayatnya. Kita tidak mahu anak, adik, kakak mahupun ibu diperlakukan sebegitu," katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online. 
Perbuatan keji itu dilakukan pada jam 9 pagi, 2 Februari 2012 ketika anak tirinya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Gombak, Selangor.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Kajang, Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu pada 6 September 2013.

Sumber dari

Mangsa cemburu buta

Beijing: Seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila menikam rakan sekerja isterinya berulang kali hingga mati hanya kerana melihat mereka berjalan bersama.
Media tempatan melaporkan Qin Han, 39, yang sudah lama menyangka isterinya Du, 33, mempunyai hubungan sulit menyerang dan menikam mangsa dikenali sebagai Zhao di khalayak ramai.
Seorang saksi berkata, kejadian berlaku dengan begitu pantas dan Qin tidak melarikan diri selepas melakukannya.

“Mangsa mati dalam keadaan berlumuran darah. Namun Qin cuma duduk di situ seolah-olah menunggu polis datang menahannya.
“Isterinya menjerit dan meraung. Saya mendengarnya menjerit ‘Apa saya nak buat sekarang’” katanya.
Jiran pasangan itu berkata, mereka sering bertengkar kerana sifat suami yang cemburu buta malah Qin kerap menuduh Du meniduri lelaki lain.
DU (tengah) bersama Qin (kanan). Di belakang, mayat Zhou diperiksa pasukan perubatan.


Sifat cemburu itu dikatakan mendorong Qin mengekori isterinya ke tempat kerja untuk ‘mencari bukti’ kecurangannya.

Dia juga tidak mempedulikan cubaan Zhao yang menafikan tuduhannya dan cuba meredakan keadaan.

“Malah dia nampak semakin marah walaupun mangsa berkali-kali cuba memberi penjelasan,” kata saksi.

Menurutnya, Qin mengeluarkan pisau dan menikam Zhou ketika mangsa cuba beredar dari situ.

Ketika ditahan, Qin yang juga berlumuran darah didengar berkata kepada isterinya: “Jagalah anak-anak kita. Ini bukan salah kamu.” - Agensi
sumber dari
myMetro

Zul Ariffin Cairkan hati wanita lagi

Zul Ariffin amat bertuah kerana dua kali dia terpilih berlakon drama untuk slot Akasia TV3. Selepas ramai yang jatuh hati dengan karakternya sebagai Zill Faezrul dalam Rindu Awak 200%, dia kini muncul pula dalam drama berjudul Istikharah Cinta.
Berganding dengan pelakon baru, Faye Kusairi, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin, 28, berkata, dia tidak menyangka akan jadi ‘hero Akasia’ sekali lagi dalam jangka waktu yang amat dekat. 
“Hampir lima tahun membabitkan diri dalam lakonan, baru kini orang dapat melihat bakat saya. Bukan mudah untuk saya berada pada tahap ini dan segala peluang yang datang saya akan gunakan dengan sebaik mungkin. 

“Sementara fenomena drama bersiri Rindu Awak 200% masih menjadi kegilaan ramai, saya perlu menarik perhatian mereka untuk beralih ke drama Istikharah Cinta yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.


“Saya perlu berusaha lebih keras untuk mengalih penonton drama Rindu Awak 200% yang sudah ada pengikut sendiri kerana ia diadaptasi daripada novel untuk menonton Istikharah Cinta yang kisahnya dicipta penulis skrip.

“Pun begitu, saya yakin dengan promosi yang dilakukan, penonton akan teruja untuk menonton drama baru lakonan saya ini,” katanya. 
sumber dari
myMetro

Wednesday, September 10, 2014

Anak melambung depan mata

Tuaran: Tidak dapat dibayangkan betapa remuknya hati seorang bapa apabila melihat anak perempuan berusia 9 tahun melambung di depan mata dirempuh kereta ketika melintas jalan bersama ibu mentuanya dekat simpang Kampung Tambalang Bolong di Jalan Sulaman, dekat sini, pagi ini.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Nursyahidatul Mohd Saiful melambung lebih lima meter manakala neneknya Rozilah Wati Mitang, 59, tercampak kira-kira tiga meter sebaik dirempuh kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita. 
Kedua-dua insan malang itu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan. 

Sejurus sebelum kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, lelaki Brunei berusia dalam lingkungan 30-an terbabit dikatakan sedang menunggu anaknya di seberang jalan untuk dihantar ke sekolah.
Nursyahidatul dikatakan tinggal bersama neneknya di sebuah rumah di tepi jalan berkenaan.

Nursyahidatul dan neneknya berpimpin tangan ketika melintas jalan apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 24 tahun dikatakan gagal mengelak dan merempuh kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber 
myMetro