Monday, September 22, 2014

Menteri Besar ke-15

Klang: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Balairong Seri Istana Alam Shah di sini, pada jam 10.42 pagi ini.
Terdahulu Mohamed Azmin melafazkan ikrar sumpah jawatan Menteri Besar. 
Istiadat berkenaan dihadiri Kerabat Diraja Selangor, Speaker Dewan Undangan Negeri, pegawai tinggi kerajaan dan wakil media yang mula memasuki kawasan istana seawal jam 8.30 pagi lagi.

Empat EXCO Kerajaan Negeri dari PAS masing ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad, ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi, ADUN Sabak Sallehin Mukhyi dan ADUN Selat Klang Dr Halimah Ali turut hadir pada istiadat berkenaan.
Pelantikan Mohamaed Azmin dijangka akan mengakhiri kemelut pentadbiran negeri ini sejak beberapa bulan lalu selepas penyandangnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diarah mengosongkan kedudukannya sebagai Menteri Besar oleh kepimpinan bekas partinya, Parti Keadilan Rakyat.

Semalam, Abdul Khalid menghadiri majlis perpisahannya di bangunan pejabatnya selepas tamat tempoh berkhidmat beliau dengan Kerajaan Selangor.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dimaklumkan secara rasmi berhubung pelantikannya, semalam.

OHAMED Azmin selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin sebagai Menteri Besar ke-15. FOTO Osman Adnan

Pelantikan Azmin mengenepikan calon pilihan utama PKR iaitu Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain spekulasi dua lagi calon menteri besar iaitu Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Dr Ahmad Yunus.

Azmin dilahirkan di Singapura pada 25 Ogos 1964 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Gurney Road (2), Kuala Lumpur dan Institut Teknikal, Jalan Cheras sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Minnesota, Amerika Syarikat dalam bidang Sains Matematik dan Ekonomi.

Beliau antara ahli politik yang menubuhkan Parti Keadilan Nasional sebelum ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1998.

Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum 2008 setelah mengalahkan calon Barisan Nasional Said Anuar Said Ahmad selain turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Selangor.

Selain menjawat Timbalan Presiden PKR, beliau adalah ahli jawatankuasa Selcat dan dilantik mengetuai PKR Selangor.

Azmin berkahwin dengan Shamshidar Taharin pada 1988 dan dikurniakan enam anak.

sumber dari
myMetro

No comments:

Post a Comment