Friday, August 29, 2014

Alyah terus membisu, Datuk Ramli bersuara

KUALA LUMPUR: Seperti judul lagu rancaknya, Kau Bisu, penyanyi Alyah terus membisu mengenai kisah perkahwinannya dengan konduktor muzik tersohor, Datuk Ramli MS.Umum sudah tahu seperti dibongkarkan BH Online mereka sudah berkahwin sejak setahun lebih lalu.

Situasi kini sudah terbalik, jika selama di saat status hubungan mereka menjadi tanda tanya, Alyah saja yang banyak bersuara atau lebih tepat menjadi sasaran. Sedangkan Ramli banyak berdiam diri.

Ramli kini pula mengambil alih tempat Alyah menjelaskan cerita yang selama ini bertebaran menimbulkan 1001 persoalan.



Menerusi khidmat aplikasi Whatsapp Ramli, beliau sempat menitipkan sedikit jawapan.
"Tak ada apa yang nak dikongsi Dee (panggilan untuk penulis). Saya berahsia selama ini kerana ada benda yang tak boleh dikongsi. Tak ada maksiat pun," katanya.
Jelas di sini, Ramli mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan beliau merahsiakan status perkahwinannya dengan Alyah.

Pasangan ini bernikah di Batam, Indonesia. Selasa depan Ramli dijangka ke JAIS untuk mengemukakan dokumen asal perkahwinannya bagi tujuan penelitian, semakan dan siasatan lanjut dari sudut undang-undang dan hukum syarak.

Sementara Alyah yang berjaya dihubungi BH Online sebentar tadi terus membisu dan enggan mengulas lanjut mengenai apa yang sudah diketahui umum.Sebaiknya juga Alyah terus begitu buat sementara waktu kerana selama ini beliau saja yang kerap bersuara.
"Segala-galanya saya serahkan pada dia (Ramli) 100 peratus. Waktu sekarang bukan masa untuk bersuara. Apabila semua sudah ok dan reda serta Ramli sudah uruskan segala-gala yang patut, saya akan bersuara. Insya-Allah," katanya ringkas.

Pagi semalam BH Online secara eksklusif mendedahkan status perkahwinan Ramli dan Alyah ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu kediaman mewah milik komposer itu di Bandar Kinrara, Puchong.

Tahniah Ramli dan Alyah. Semoga perkahwinan yang dibina akan terus mekar selama-lamanya. Ini perkahwinan kedua Ramli dan pertama bagi penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu.




sumber dari 




Enam lelaki bogel mengaku salah

BALIK PULAU - Sebanyak 10 individu yang menyertai pesta bogel di Pantai Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang, Pulau Pinang pada 30 Mei lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai di tempat awam.

Lebih menarik, kesemua mereka hadir untuk menghadapi tuduhan tersebut dengan berpakaian sopan.Sebahagian daripada mereka memakai penutup muka dipercayai bagi mengelak wajah mereka dirakam jurugambar.

Bagaimanapun hanya enam daripada mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.Muhammad Najib kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan ke atas setiap tertuduh.



Mereka ialah Loh Kok Hong, 41, Mu Wai Peng, 34, Justin Ang Ji Keng, 24, Yam Kam Hoong, 54, Lionel Loo Joo Heng, 52, dan R. Nanda Kumar, 40.Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Akta 574 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di tempat awam di Pantai Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang di sini, kira-kira pukul 3 hingga 6 petang pada 30 Mei lalu.

sumber dari

Tak mungkin saya kacau kebahagiaan mereka - Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: "Dia sudah berpunya, tak mungkin saya akan kacau perhubungan itu," demikian ungkapan pelakon utama Rindu Awak 200 %, Ayda Jebat mengenai gosip mengaitkan dirinya dengan Zul Ariffin, gandingannya dalam drama berkenaan.

Malah pelakon yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim kesembilan itu tidak pernah terlintas langsung untuk merosakkan kebahagiaan orang sekalipun beliau masih solo.
Baginya tidak pernah wujud terma cinta lokasi secara serius membabitkan mereka.

Kehangatan drama adaptasi novel popular ini yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3 ini turut memberi tempias kepada gandingan pelakon utamanya. Malah ada peminat yang mahu mereka bercinta di alam realiti.

Cuma bagi Ayda, beliau melihat gosip sebegitu tak lebih daripada usikan manja untuk menghangatkan lagi drama itu.

"Bagi saya, apabila berlakon yang memerlukan emosi percintaan, perasaan itu perlu kerana sebagai pelakon kita mahu menyampaikan apa yang dirasai. Kalau ada yang suka itu bererti watak Armel Aisya dan Zill Faezrul Iqbal (Zul Ariffin) berjayalah.

"Malah saya berpendapat cinta lokasi itu wujud tapi semuanya atas tuntutan kerja. Tidaklah sampai bercinta. Saya tahu dia ada kekasih. Dalam yang suka, adatlah yang tak suka gandingan kami.

"Saya ada menerima emel yang tak suka kalau wujud hubungan cinta serius antara kami. Tapi bahasa yang digunakan dalam emel itu baik sampai saya tersengih membacanya. Saya faham apa yang mereka tulis itu dan saya tak tergamak jadi orang ketiga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayda kini sudah bergelar duta kepada produk Aura White untuk rangkaian produk Aura White Bubbly bagi kelompok sasaran remaja berusia 13 hingga 25 tahun. Ayda mengakui tawaran itu diterimanya hasil impak drama Rindu Awak 200 %.

"Saya difahamkan memang ketika itu pihak Aura White mahu artis remaja dan kebetulan mereka menonton drama Rindu Awak 200 %. Saya melihat semua ini sebagai rezeki terpijak selepas tiga tahun mencuba nasib dalam dunia seni.

"Sebelum drama ini pun saya sudah membintangi banyak drama. Tapi tuah saya bermula dengan drama ini yang banyak membuka peluang saya kepada pendedahan serta promosi di TV dan bersama media.

"Ini juga drama pertama saya di TV3 untuk watak utama. Sebelum ini saya ada berlakon drama Anugerah Terindah juga di saluran sama tetapi hanya watak pembantu. Biarpun ada yang mempertikaikan saya tak layak jadi heroin, saya ambil semuanya dari sudut positif serta pembakar semangat," katanya.

Biarpun sudah dianggap bertuah meraih populariti segera, Ayda menyifatkan elemen itu tidak akan langsung mengubahnya jadi besar kepala dan lupa diri.


"Saya jalani hidup ini macam biasa saja. Macam dulu. Tapi saya selesa jadi diri sendiri. Saya jenis yang banyak cakap dan suka gelak. Pendek kata saya jenis yang 'gila-gila'," katanya.


sumber dari

Bersepai hentam treler

Pendang: Mengerikan apabila kepala seorang lelaki pecah dipercayai terhimpit dengan beberapa karton minuman keras yang dimuatkan dalam pacuan empat roda Toyota Hilux selepas kenderaan dipandunya itu melanggar belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 55.7, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, anggota bomba terpaksa mengutip cebisan otak mangsa berusia 30 tahun dan berasal dari Jitra yang tidak bernyawa di dalam kenderaan itu. 

Difahamkan, kenderaan Toyota Hilux terbabit sarat dengan minuman keras dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Sungai Petani sebelum melanggar belakang sebuah treler membawa muatan simen dari arah sama menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu dikatakan gagal mengelak treler terbabit yang secara tiba-tiba memasuki lorong kanan menyebabkannya terus melanggar bahagian belakang kenderaan berat berkenaan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Alor Setar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Izham Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 pagi dan dimaklumkan mangsa parah akibat tersepit dalam kenderaan.


ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan, semalam.

sumber dari
myMetro

Kepala Ditembusi Batang Besi Tebal

Beijing: Seorang lelaki terselamat walaupun selepas kepalanya ditembusi batang besi tebal ketika dia melakukan kerja di rumah lamanya.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Ho dilapor cuba membersihkan rumah berkenaan di Leye, wilayah Guangxi apabila batang besi itu jatuh dari atas, menembusi dahi dan keluar menerusi bahagian kiri rahangnya.Ho, 50, berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan kecemasan di sebuah hospital.

Pasukan perubatan yang dipanggil untuk merawat Ho terkejut melihat kecederaan yang dialami dan pada masa sama hairan dia bukan saja masih hidup tetapi sedar sepenuhnya.
Ho dikejarkan ke hospital berhampiran. Doktor bagaimanapun terpaksa meminta bantuan bomba yang datang membawa bersama mereka alat untuk memotong sebahagian besar besi berkenaan.

Mereka kemudian memindahkannya ke sebuah hospital lebih besar, tempat pembedahan kecemasan yang lebih rumit dijalankan bagi mengeluar baki besi yang masih berada dalam kepalanya.

Kakitangan hospital berkata, Ho kini semakin pulih dan dianggap tidak lagi dalam bahaya.

Ujian sinar-X yang dilakukan sebelum pembedahan menunjukkan batang besi padu itu menembusi bahagian kanan dahinya dan keluar menerusi bahagian bawah pipi kirinya.

Andai besi berkenaan tertusuk pada sudut yang berbeza, walaupun sedikit, ia pasti menembusi otak atau mata Ho yang akan menyebabkan dia cedera parah atau mati.

Dalam kejadian lain di selatan China, seorang wanita putus kepala selepas kereta yang dipandu anaknya merempuh pembahagi jalan raya.- Agensi


KEADAAN Ho sebelum pasukan perubatan tiba.


HO bernasib baik kerana batang besi itu tidak menembusi otaknya.

Sumber dari
myMetro


Thursday, August 28, 2014

Tolak babak intim

Selepas berkahwin dan memiliki anak, pelakon dan peng­acara Faezah Elai mengakui dia le­bih selektif dengan watak ditawarkan dalam drama dan filem ketika ini.Menurut isteri kepada pengarah drama, Heykal Hanifah, 41, ini, dia juga terpaksa menolak babak panas dan ranjang untuk menjaga statusnya sebagai isteri sekali gus nama baik keluarga kedua-dua belah pihak.

“Sebelum ini, saya pernah berlakon watak suami isteri bergandingan dengan Rusdi Ramli yang juga arahan Heykal tetapi tiada babak panas pun. Saya percaya, tidak semestinya ada babak peluk dan pegang-pegang untuk menggambarkan kemesraan suami isteri dalam drama mahupun filem.

“Ada banyak cara atau simbolik untuk kita menunjukkan kemesraan dalam hubungan suami isteri dalam drama atau filem dan ia bergantung pada kreativiti seseorang pengarah itu,” katanya.

Terus terang, kata pemilik nama sebenar Noor Faezah Elai, 32, ini, dia juga lebih selesa berlakon dalam produksi suaminya sendiri selepas berkahwin.


“Apabila berlakon dalam produksi sendiri kita juga boleh memilih watak yang sesuai untuk dilakonkan. Pada masa sama, saya juga boleh mengatur masa dengan baik dan berlakon mengikut kelapangan. Terbaru, saya bakal beraksi dalam drama arahan suami tidak lama lagi,” katanya.



sumber dari
myMetro

Jais Serbu Rumah, Alyah & Ramli MS Gagal Sorok Nikah

PETALING JAYA: Status yang cuba disorok oleh penyanyi Alyah atau nama sebenanya Noor Hasilah Hassan, 33, dan juga Datuk Ramli MS mengenai status perkahwinan mereka selama ini ternyata gagal apabila mereka dikatakan sudah bernikah.

Pasangan itu dipercayai bernikah di Batam, Indonesia kira-kira setahun lalu.

Alyah dan Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh memberi kerjasama sepenuhnya ketika sekumpulan pegawai penguatkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan wartawan Berita Harian menyerbu rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pagi Khamis.

Pasangan berkenaan dipercayai berjaya meyakinkan pegawai penguatkuasa mengenai status rumah tangga mereka dan diminta hadir ke pejabat Jais untuk memberi keterangan selain dinasihatkan mendaftarkan perkahwinan mereka.

Sebelum ini Ramli mengunci mulut apabila ditanya gosip perkahwinannya dengan Alyah.

Alyah pula tidak banyak bercerita mengenai hubungan itu tetapi meminta pihak media bertanyakan sendiri kepada Ramli jika ingin penjelasan dengan alasan biar ia disahkan sendiri oleh pihak lelaki.

Gosip hubungan mereka bertambah kencang apabila Ramli yang selama ini menetap 10 tahun di sebuah hotel di sini membuat keputusan berpindah ke rumah baharu yang dibelinya sambil menafikan ia bertujuan untuk menamatkan zaman dudanya.

Berita yang tersebar ini mengakhiri pertanyaan mengenai status mereka dan jika benar Alyah dan Ramli sudah bernikah, ternyata laporan media sebelum ini adalah benar manakala penafian mereka adalah bersifat pendustaan.


Wanita bunuh harimau bintang

Rudraprayag (India): Seorang wanita berusia 54 tahun membunuh seekor harimau bintang dengan hanya mengguna peralatan kebun selepas haiwan itu menyerangnya ketika dia dalam perjalanan pulang dari ladang.

Kamla Devi yang cedera selepas bertarung selama kira-kira sejam dengan haiwan itu berhampiran kampungnya di daerah Rudraprayag, Uttarakhand Ahad lalu, kini dirawat di hospital. 

Ibu satu anak itu hanya mengguna sabit dan penyodok kecil untuk melawan harimau bintang berkenaan sebelum berjalan kira-kira setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

Dia mengalami luka yang dalam dan patah di tiga bahagian tubuhnya serta kehilangan banyak darah sebelum tiba di hospital.
Haiwan itu kemudiannya ditemui mati berhampiran kampungnya, Koti Bodna.

Pakar hidupan liar, Lakhpat Rawal berkata, dia terkejut dengan masa bertarung yang begitu lama.

“Harimau bintang biasanya akan berundur jika mendapati mangsanya kuat. Biasanya, serangan itu hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit. 

“Mungkin harimau bintang itu terlalu tua atau terlalu muda dan tidak berpengalaman.

“Mungkin juga haiwan itu terdorong untuk terus menyerang dengan harapan untuk membunuh wanita itu selepas melihat terlalu banyak kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya.

Kamla yang kematian suami 30 tahun lalu bagaimanapun memberitahu media tempatan, dia masih ingat keseluruhan kejadian dan tempoh masa ia berlaku.

Kakitangan perubatan berkata, walaupun keadaan wanita itu stabil, dia terpaksa menjalani lebih 100 jahitan memandangkan luka yang dalam pada kepala dan kakinya.

Dia juga dirawat kerana patah tulang tangan kanan dan kiri.- Agensi



sumber dari
myMetro

Penjara sebulan, denda RM5,000 untuk sukan bogel

Balik Pulau: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM5,000 terhadap enam individu yang terbabit dalam rakaman video sukan bogel di Teluk Kampi, Teluk Bahang.

Majistret Muhammad Najib Ismail menetapkan hukuman itu selepas semua enam peserta berkenaan mengaku bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan. Mahkamah juga menetapkan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Seorang daripada tertuduh yang merakam aksi bogel terbabit turut dikenakan hukuman enam bulan penjara terhadap satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 292.
Terdahulu, 10 individu yang ditahan polis dihadapkan ke mahkamah hari ini dan empat daripadanya mengaku tidak bersalah.


Muhammad Najib kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM4,000 setiap seorang masing-masing dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober ini terhadap empat tertuduh yang tidak mengaku salah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edward Chan.


ENAM individu terbabit rakaman video sukan bogel. FOTO Danial Saad

sumber dari
myMetro

Mati tersepit di pangkuan ibu

Bagan Serai: Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan maut selepas tersepit apabila kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 177, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi, mangsa, Ariq Syahmi Abdul Karim maut di tempat kejadian selepas kenderaan Nissan Sentra yang dipandu bapanya, Abdul Karim Abu Bakar, 38, hilang kawalan selepas gagal memotong sebuah lori simen sebelum terbabas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kanan jalan sebelum sebuah kenderaan Toyota Hiace milik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Batu Kurau yang dalam perjalanan menghadiri satu sesi perbicaraan di Kangar, Perlis dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan terbabit.


KERETA dipandu mangsa terbalik selepas cuba memotong lori simen.


Kemalangan itu menyebabkan bayi berkenaan yang dipercayai berada di pangkuan ibunya, Mimi Suhaila Wahab, 36, maut akibat tersepit di tempat kejadian manakala seorang kakak mangsa, Amirah Sofea, 9, mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar sebelum dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.


“Bapa mangsa, Abdul Karim serta seorang lagi kakak mangsa, Nur Faqihah Farahiyah, 10, hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar,” katanya.

sumber dari
myMetro