Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Tuesday, October 21, 2014

Tiga hari mimpikan anak

Kuala Terengganu: "Tiga hari berturut-turut saya bermimpikan dia dan setiap kali mimpi hati saya berasa tidak sedap," kata Faezah Mamat, 43, ibu kepada Muhammad Amizi Zuhaidi Salahuddin, 15, yang maut dalam kemalangan di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan membeli mi goreng yang dipesan kakaknya di sebuah kedai makan berhampiran.

Malangnya, dalam perjalanan itu motosikal ditunggang mangsa merempuh belakang lori tiga tan yang diparkir di tepi jalan.

Faezah yang juga ibu kepada 11 anak itu berkata, anak kelimanya itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu apabila dimaklumkan penduduk kampung dan bergegas ke tempat kejadian.

sumber dari
myMetro

Wednesday, September 10, 2014

Anak melambung depan mata

Tuaran: Tidak dapat dibayangkan betapa remuknya hati seorang bapa apabila melihat anak perempuan berusia 9 tahun melambung di depan mata dirempuh kereta ketika melintas jalan bersama ibu mentuanya dekat simpang Kampung Tambalang Bolong di Jalan Sulaman, dekat sini, pagi ini.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Nursyahidatul Mohd Saiful melambung lebih lima meter manakala neneknya Rozilah Wati Mitang, 59, tercampak kira-kira tiga meter sebaik dirempuh kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita. 
Kedua-dua insan malang itu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan. 

Sejurus sebelum kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, lelaki Brunei berusia dalam lingkungan 30-an terbabit dikatakan sedang menunggu anaknya di seberang jalan untuk dihantar ke sekolah.
Nursyahidatul dikatakan tinggal bersama neneknya di sebuah rumah di tepi jalan berkenaan.

Nursyahidatul dan neneknya berpimpin tangan ketika melintas jalan apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 24 tahun dikatakan gagal mengelak dan merempuh kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber 
myMetro

Friday, August 29, 2014

Bersepai hentam treler

Pendang: Mengerikan apabila kepala seorang lelaki pecah dipercayai terhimpit dengan beberapa karton minuman keras yang dimuatkan dalam pacuan empat roda Toyota Hilux selepas kenderaan dipandunya itu melanggar belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 55.7, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, anggota bomba terpaksa mengutip cebisan otak mangsa berusia 30 tahun dan berasal dari Jitra yang tidak bernyawa di dalam kenderaan itu. 

Difahamkan, kenderaan Toyota Hilux terbabit sarat dengan minuman keras dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Sungai Petani sebelum melanggar belakang sebuah treler membawa muatan simen dari arah sama menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu dikatakan gagal mengelak treler terbabit yang secara tiba-tiba memasuki lorong kanan menyebabkannya terus melanggar bahagian belakang kenderaan berat berkenaan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Alor Setar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Izham Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 pagi dan dimaklumkan mangsa parah akibat tersepit dalam kenderaan.


ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan, semalam.

sumber dari
myMetro

Thursday, August 28, 2014

Mati tersepit di pangkuan ibu

Bagan Serai: Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan maut selepas tersepit apabila kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 177, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi, mangsa, Ariq Syahmi Abdul Karim maut di tempat kejadian selepas kenderaan Nissan Sentra yang dipandu bapanya, Abdul Karim Abu Bakar, 38, hilang kawalan selepas gagal memotong sebuah lori simen sebelum terbabas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbalik ke sebelah kanan jalan sebelum sebuah kenderaan Toyota Hiace milik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Batu Kurau yang dalam perjalanan menghadiri satu sesi perbicaraan di Kangar, Perlis dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan terbabit.


KERETA dipandu mangsa terbalik selepas cuba memotong lori simen.


Kemalangan itu menyebabkan bayi berkenaan yang dipercayai berada di pangkuan ibunya, Mimi Suhaila Wahab, 36, maut akibat tersepit di tempat kejadian manakala seorang kakak mangsa, Amirah Sofea, 9, mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar sebelum dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.


“Bapa mangsa, Abdul Karim serta seorang lagi kakak mangsa, Nur Faqihah Farahiyah, 10, hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar,” katanya.

sumber dari
myMetro